PENGALAMAN HAJI

PENGALAMAN HAJI

Pengalaman Haji yang sangat menyeronokkan. Dan yang paling penting adalah, terlaksana sudah rukun Islam ke lima. Alhamdulilah. Dan saya juga mendoakan kepada semua umat Islam yang belum menunaikan Haji, akan dijemput oleh ALLAH ditahun yang akan datang… Aamiin Allahumma Aamiin.

Ibadah ini merupakan kemuncak pada rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang sudah cukup kemampuan. Kemampuan itu pula merangkumi aspek kewangan, kesihatan dan ilmu. Ibadah ini cukup ditunaikan sekali sahaja seumur hidup.

Perkongsian saya, pengalaman saya :

Pada 24hb April 2024, saya dan suami telah menerima SMS drpd tabung haji yang mengatakan bahawa kami telah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini 2024 (1445h). Gembiranya tidak terperi, tak dapat hendak saya deliver rasa happy serta syukur dengan pemilihan ini.

Kami telah mendaftar haji pada tahun 2008, kalau ikut giliran yang ditetapkan oleh tabung haji, giliran kami adalah pada tahun 2026. Tetapi jiwa dan otak kami membuak-buak ingin menunaikan haji lebih awal, sebab memikirkan sementara masih belum tua sangat dan badan tengah sihat.

Tahun ini adalah tahun ke 16 penantian kami. Sejak tahun 2016, kami telah start buat rayuan. hampir setiap tahun, Dan penantian kami berakhir dengan panggilan melalui SMS. Alhamdulilah dan sangat bersyukur ke hadrat illahi.

Kursus Haji

Setiap awal tahun, Biasanya kursus ini berjalan selama 3 bulan. Tabung haji buat kursus haji disetiap daerah dengan percuma, Untuk kawasan kami, kursus ini dikendalikan oleh Masjid Bandar Baru Sg. Buloh. Manakala Kursus Haji Perdana pula akan dibuat untuk jemaah yang telah mendapat panggilan daripada tabung Haji.

Pengelolaan Jemaah Haji (PJH)

Kami memilih untuk pergi haji dibawah pengelolaan syarikat swasta. Kerana kami mahukan hotel di Mekah & di Madinah berdekatan dengan masjid. Kami memilih Syarikat Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd. Alhamdulilah, pemilihan ini tidak salah langsung. Pendek kata, kami sangat berpuas hati dengan service yang diberikan. Pengalaman haji yang best bersama Wira Saujana.

Jenis Haji

Kami memilih untuk buat HAJI TAMATTU’. Haji ini perlu mengerjakan umrah terdahulu, tawaf, sa’ie dan bertahalul. Dan perlu membayar dam seekor kambing.

Manakala HAJI IFRAD, ialah mengerjakan Haji terlebih dahulu sebelum mengerjakan umrah. Dan perlu berpantang sehingga selesai mengerjakan Haji. (pantang larang Ihram boleh dirujuk dalam gambar dibawah).

Pantang Larang dalam Ihram

Kronologi perjalanan haji saya

24hb April 2024 – Dapat SMS terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Oleh kerana kami mendapat panggilan agak lambat maka kami perlu menjawab jemputan tersebut berserta medical report secepat mungkin. Tempoh yang diberi hanya 3 hari sahaja. Alhamdulilah urusan kami dipermudahkan oleh Allah.

28hb April 2024 – Dapat Jadual penerbangan. Kami dijadualkan berlepas pada 4hb Jun 2024. Kami dapat penerbangan KT87. Berlepas pada jam 4.15pm. Dan akan kembali ke Tanah air pada 17hb Julai 2024.

18hb & 19hb May 2024 – Kursus Haji Perdana yang diadakan di Masjid Ibnu Mas’ud Kuala Lumpur. Kursus haji ini bukan setakat kursus fizikal sahaja, malah kami juga diberi kursus melalui zoom,sebelum dan selepas kursus fizikal. (Best,kan?)

4hb June 2024 – Berangkat ke Mekah. Kami penerbangan KT87. Berlepas pada jam 4.15pm. Tiba di Jeddah jam 8.20pm. Kami terus dibawa ke hotel Rayyanah Grand Plaza. Hotel yang cantik dan serba selesa. Kami terus masuk bilik, membersihkan diri dan tidur berehat.

5hb June 2024 – Waktu subuh d mekah seawal 4am. Jarak Hotel ke Masjidil Haram dalam 350meter. Alhamdulilah tidak terlalu jauh pun, bagi kami yang dah biasa jogging dan berbasikal ianya bukan sesuatu yang menyusahkan. Malah setiap hari berulang alik hotel ke masjid, saya menjadikanya sebagai exercise persediaan hari melontar nanti.

Jarak hotel ke masjid

Umrah yang dituntut

Hari pertama di mekah, Jam 7am, Kami dibawa oleh mutawif untuk buat umrah sunat yang dituntut. Niat umrah telah pun kami buat semasa flight melintasi Qarnul Manazil semalamnya. Orang tersangat ramai ketika itu, semasa tawaf, saya hampir tidak berjalan dek kerana orang terlalu ramai, badan saya diapit rapat oleh jemaah depan dan belakang, maka pergerakkan saya hanya mengikut arus sahaja. Bila kenangkan balik, rasa nak tergelak.

Selesai tawaf, kami ke Safa dan Marwah, untuk melakukan sa’ie pula, semasa di tempat sa’ie, keadaan agak terkawal. Saya berjalan seperti biasa. Selesai sa’ie, kami pun bertahlul. kami bawa gunting kecil dan kami gunting sendiri sahaja tanpa menggunakan perkhidmatan budak-budak yang ambil upah menggunting di kawasan tersebut.

Selepas selesai mengerjakan umrah pertama ini, kami pun balik ke hotel. Masuk bilik, baru lah saya berkenalan betul-betul dengan rakan-rakan sebilik. saya memang ambil pakej bilik berempat, sebab yang pertamanya, saya dapat kawan baru dan keduanya, senang nak ulang-alik masjid bersama kawan wanita.

Setiap hari, waktu solat Subuh, Magrib & Isyak, kami solat di Masjid. Cuaca ketika ini di Mekah agak tinggi, antara 39c – 44c. so biasanya waktu zohur dan Asar kebanyakkan masa, kami akan solat disurau hotel sahaja.

Aktiviti sepanjang di Mekah

Setiap pagi 9am – 10.30am, kami ada kuliah yang dikendalikan oleh agensi haji. Ustaz- ustaz yang memberi ceramah pun bagus-bagus semuanya. Selain ustaz, Ustazah juga ada, ustazah akan menyampaikan ilmu tentang Fiqh Wanita. Kelas membaca surah Al Kahfi dan terjemahan juga ada. Pengisian yang sangat bermanfaat. Menyertai kuliah ilmu adalah sangat dituntut malah tinggi pahalanya.

Kami juga dibawa menziarah tempat-tempat bersejarah. Ke masjid-masjid nabi. Jabal Nur, Jabal Rahmah, begitu juga di Madinah. Banyak tempat-tempat yang tak tersebut disini.

Antara tempa-tempat ziarah Pengalaman haji

MINA – TARWIYAH

07 Zulhijjah (14hb Jun) Kami dibawa ke Khemah di Mina. Kami ditempatkan khemah 85. Khemah ini dibawah pengurusan muasasah. dalam satu khemah, seramai 150 orang jemaah ditempatkan. Dalam satu khemah pula ada petak-petak menempatkan lebih kurang 15-18 orang.

Di situ lah kami tidur, disitu lah kami solat dan disitu juga lah kami makan. Keadaan agak padat. Tapi ianya menyeronokkan kerana kita akan jadi lebih rapat dengan rakan-rakan yang lain. Dalam khemah ada aircond, tapi dek kerana cuaca terlalu panas dan jemaah pun ramai, maka aircond dirasai ala kadar sahaja tapi Alhamdulilah tidak lah panas sangat.

Pada hari raya haji, kami menyambutnya sesama kami, pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Kami sambut dalam khemah di Mina. Walaupun rindu kat anak cucu nun jauh di Malaysia tapi ia tidak mengganggu fokus saya. Alhamdulilah.

Rakan di khemah Mina Pengalaman haji

07 & 08 Zulhijjah (14 & 15hb Jun). Sama seperti di hotel di Mekah, setiap hari kami akan dihidangkan dengan kuliah untuk menambah ilmu dan pahala. Pengajian kitab Syamil Muhammadiah dan tafsir surah Al Kahfi. Pengisian yang bermanfaat. 2 Hari ini boleh dikatakan hari santai untuk semua jemaah. Dan buat persediaan untuk hari Wukuf/melontar nanti.

09 Zulhijjah (16hb Jun). Selepas subuh kami bertolak ke Arafah. Sampai di khemah Arafah dalam jam 11am. setelah masing-masing mendapat tempat duduk, bergema lah bacaan talbiyah dan tazkirah oleh Al Habib Naqjamuddin Syed Othman Al-Khered. Disini juga waktu Zohor dan Asar kami solat berjemaah dan melakukan solat Jamak Taqdim Tamam.

WUKUF

Selepas tergelincir matahari, masuklah waktu WUKUF. inilah waktu kemuncak berdoa, bertaubat, berzikir, berselawat dan mengaji Al Quran. Tempoh wukuf adalah dalam 5-6 jam. Semua jemaah fokus dengan urusan masing-masing ketika ini.

MABIT DI MUZDALIFAH

Sebelum magrib, kami dibawa ke Muzdalifah, tempat bermabit. Keadaan disitu adalah tempat yang terbuka, tiada lantai simen dan atap, tanah kosong yang dibentang karpet untuk para jemaah bersolat dan tidur.

Sebaik sahaja saya menjejakikan kaki atas karpet tersebut (setelah buka kasut), terdetik dalam hati “Panas karpet ni, macam mana nak tidur?” Karpet tersebut panas sebab tanah disitu sangat panas. kemudian kami solat berjemaah. selesai solat, maka kami pun semua berbaring lah diatas karpet yang panas tu.

Ajaibnya, saya dapat tidur dengan senyenyak-nyenyaknya… Subhanallah kuasa Allah, panas karpet dah hilang daripada fikiran dek kerana tertidur seperti orang pengsan. Setelah tidur lebih kurang 4 jam, tiba masa untuk kembali ke khemah Mina. Salah 1 Pengalaman Haji yang best.

Mabit di Muzdalifah Pengalaman Haji

Hari-hari Tasyrik – Pengalaman Haji saya

Disini lah kemuncak ujian bagi saya, kerna jemaah perlu berjalan sejauh 3.5km untuk sampai ke Jamrah dan hala balik ke khemah Mina jugak 3.5km. Jumlah perjalanan 2 hala adalah 7km. Ianya perlu dilakukan untuk 3-4 hari berturut-turut bagi melengkapkan pengerjaan Haji.

10 Zulhijjah (17hb Jun) – Sampai di khemah Mina, jemaah boleh berehat kejap. Sebelum subuh, kami memulakan pergerakkan ke Jamrah untuk melontar pertama yang juga dipanggil Jamratul Aqabah atau Jamrah besar. Dalam perjalanan ke Jamrah, apabila masuk waktu Subuh, maka kami pun melakukan solat Subuh di tepi jalan.

Selesai melontar Jamratul Aqabah, kami menggunting rambut. Proses ini dipanggil Tahallul Awal. Maka bebas lah sudah daripada pantang larang berihram kecuali 3 perkara iaitu persetubuhan, berkahwin dan menjadi wali.

Melontar jamrah ada 2 pilihan, iaitu :

  1. Nafar Awwal – Ia dilakukan selama 3 hari berturut-turut iaitu pada tarikh 10, 11 dan 12 Zulhijjah.
  2. Nafar thani – Ia dilakukan selama 4 hari berturut-turut iaitu pada tarikh 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Saya membuat pilihan untuk buat Nafar Awwal.

11-12 Zulhijjah (18-19hb Jun) – Melontar seterusnya, Jamrah pertama dipanggil Jamrah Ula. Diikuti Jamrah wusta dan Jamrah Aqabah. Sama seperti semalam, kami bergerak sebelum subuh. Apabila masuk waktu subuh semasa dalam perjalanan maka kami akan berhenti ditepi jalan untuk menjalankan solat Subuh.

12 Zulhijjah (19hb Jun) – Selesai urusan di Jamrah, kami terus bersiap untuk pulang ke Mekah. Sampai di Mekah dah tengahari, cuaca sangat panas maka kita tangguhkan dahulu untuk melakukan Tawaf Ifadah dan Sa’ie haji.

13 Zulhijjah (20hb Jun) – Setelah solat subuh. Kami terus buat Tawaf Ifadah dan Sa’ie haji. Kemudian bertahallul, iaitu mencukur atau memotong sekurang-kurang tiga helai rambut. Maka selesai sudah Pengerjaan Haji kami… Alhamdulilah.

Perarakkan ke Jamrah pengalaman Haji

Program seterusnya selama d Mekah

14 – 15 Zulhijjah (21-22hb Jun) – Kuliah harian, pengajian kitab Syamil Muhammaddinah dan tafsir surah Al Kahfi.

16 Zulhijjah (23hb Jun) – Bagi jemaah yang mahu buat umrah sunat, pihak pengurusan Wira Saujana membawa kami bermiqat di Tanaeem. Sampai sahaja di hotel, kami terus ke Masjidil Haram untuk selesaikan umrah sunat.

17 – 19 Zulhijjah (24-26hb Jun) – Kami dibawa melawat/menziarah ke tempat-tempat bersejarah di Kota Mekah seperti Jabar Thur, Jabal Rahmah (Arafah), Muzdalifah, Jamarat di Mina, Masjid Ja’aranah dan akhit sekali ke Jabr Nur (Gua hira’) . semua tempar-tempat ini hanya lalu sahaja. Di Masjid Ja’aranah boleh bermiqat kepada jemaah yang mahu melakukan umrah sunat.

20 – 24 Zulhijjah (27 Jun – 1 Julai) – Kuliah harian dijalan seperti biasa pada waktu pagi 9.30am – 11.30am. selebihnya kami bebas buat urusan masing-masing.

Mahabbah (Jamuan makan malam)

25 zulhijjah (2 Julai) – Wira saujana mengadakan jamuan makan malam dan sebagai meraikan selesainya urusan Haji. Saya dengan suka rela menjadi AJK untuk membantu melancarkan urusan2 penyediaan gift dan hidangan makan minum.

Mahabbah

26 Zulhijjah – 3 Muharram (3 – 9 Julai) – Program seperti kuliah harian dijalankan seperti biasa cuma diubah waktu mengikut jadual ziarah. Kami juga dibawa ke Ta’if dan ziarah di keliling Dataran Masjidil Haram.

4 Muharram (10 Julai) – Majlis khatam Quran group Tadarus.

5 Muharram (11 Julai) – Kami menaiki speed train untuk ke Madinah. Naik train ini adalah diatas bayaran sendiri. Tidak termasuk dalam harga pakej. Perjalanan ke Madinah jadi lebih pendek berbanding menaiki bas. Jimat 2 jam. Teruskan pembacaan anda tentang pengalaman haji saya.

Speed train ke Madinah

6 – 10 Muharram (12 – 16 Julai) – Kami dibawa menziarah ke tempat-tempat bersejarah di Kota Madinah, seperti Masjid Quba, Ladang Kurma, Jabal Uhud, Masjid Qiblata’in dan Masjid 7 kubah.

10 Muharram (16hb Julai) – Sebelah petang kami sudah bersiap untuk menuju ke airport Madinah untuk pulang ke tanah air.

11 Muharram (17hb Julai) – Jam 2.30pm Kami selamat mendarat di KLIA. Kami dijemput oleh keluarga masing-masing. Termasuk lah kami. Saat paling bahagia apabila terkejar oleh cucu yang dah nampak saya dari jauh… Allahu terima kasih Ya Allah.

Kesimpulannya

Alhamdulilah selesai sudah rukun Islam ke lima. Selagi tak buat, selagi tidak terlaksana, terasa berhutang dengan Allah.

HAJI memerlukan persediaan ilmu, mental dan fizikal. Cukup 3 perkara ini maka HAJI itu mudah.

Selama 44 hari berada di tanah suci, tiada kerja lain untuk kita kecuali beribadat. solat, mengaji, makan minum .. itu sahaja, maka jalankanlah dengan sepenuh hati kerana kita tidak tahu samada kita akan datang lagi atau tidak untuk buat Haji lagi.

Koleksi gambar

Sahabat suami
Ribuan Jemaah Pengalaman haji

Banyak lagi yang tidak tercerita dalam penulisan ini. In Shaa Allah saya akan bercerita lagi di penulisan yang akan datang.

Terima kasih kepada yang sudi baca sehingga habis. Penulisan yang paling panjang yang saya buat setakat ini. hihi

Ini adalah pengalaman haji saya, setiap orang pasti ada pengalaman masing-masing yang mungkin berbeza dengan pengalaman haji saya.

Bagi anda yang hendak mengetahui apakah keperluan atau kelengkapan haji apa lagi yang perlu dibawa, anda boleh baca pada penulisan saya yang bertajuk Kelengkapan Haji atau klik jer tajuk itu tadi.

Bonda Sukma Abdul 012 313 4457

#infosihatbondasu #sayasharekesihatan #sayapenggunashaklee #sayajualvitamin #tanggungjawabpdbadan #shakleesgbuloh

8 thoughts on “PENGALAMAN HAJI

    1. Terima Kasih kerna sudi membaca… In Shaa Allah Tuan & Isteri akan tiba masanya dijemput menjadi tetamu Allah… Aamiin

  1. Alhamdulillah terlaksan sudah Rukun Islam Ke Lima dan terimakasih dgn berkongsi pengalaman sepanjang disana❤️doakan juga kami untuk sampai kesana satu hari nantu

    1. Terima Kasih kerna sudi membaca… In Shaa Allah… Semoga John & suami akan dijemput menjadi tetamu Allah pada tahun yang akan datang ni.… Aamiin

  2. Alhamdullilah Tahniah sue..penulisan dan pengalaman yg menarik..rasa x sabar nak buat haji..doa kan iza dan hsbn terpilih buat haji naa..

    1. Terima Kasih kerna sudi membaca… In Shaa Allah… Semoga Iza & suami akan dijemput menjadi tetamu Allah pada tahun yang akan datang ni.… Aamiin

Leave a Reply